08/09/2024

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita di sini kerugian sebanyak RM1.6 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan ‘cryptocurrency’ tidak wujud melalui laman sesawang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, wanita tempatan berusia 49 tahun itu tertarik dengan iklan kejayaan kewangan oleh seorang individu bernama Gabriel Lee dan kemudian telah mengisi borang di laman sesawang berkenaan pada Disember tahun lepas.

Menurutnya, mangsa telah dihubungi oleh individu bernama Jasmine Yong dan kemudian telah menyertai ke dalam satu kumpulan WhatsApp untuk urusan saham.

“Setelah tiga bulan mangsa dijemput menyertai ke sebuah kumpulan WhatsApp atas nama ‘Cripto Currency’ dan diberi arahan oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat pelaburan. Mangsa yang tidak bekerja dan menerima duit daripada keluarga dan jualan asetnya telah memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan bermula 14 Mac hingga 28 Jun lepas.

“Dalam tempoh tersebut, mangsa dijanjikan dengan pulangan pelaburan anggaran sebanyak RM90 juta, namun sehingga kini wanita itu masih tidak menerima sebarang pulangan keuntungan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, mangsa mula mengesyaki ditipu setelah segala perbualan mesej dan panggilannya disekat.

Justeru, beliau berkata, wanita berkenaan telah membuat laporan polis akibat kerugian sebanyak RM1.6 juta di Balai Polis Dungun pada Selasa lepas.-SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *